Penghujung tahun lepas, jenama pewarna dan produk perawatan kuku terkemuka Butter London ada melancarkan sebuah kit yang terdiri daripada 6 produk dalam satu kotak digelar “The Waterless Manicure System” bagi memudahkan sesiapa sahaja merias kuku secara ringkas di rumah.
Sememangnya dicipta untuk kuku lebih sihat dan menawan, Butter London cuba menampilkan kaedah mudah dengan menyediakan semua alat yang diperlukan demi mencapai hasil riasan kuku cantik senantiasa.
Penulis adalah antara insan yang bertuah kerana berpeluang mencuba kit ini secara peribadi. Hasilnya, amat menakjubkan! Inovasi yang sungguh bijak. Sedikit pun, penulis tidak perlu menggunakan air untuk mencuci lebihan kutikel kerana dalam kit tersebut telah dibekalkan dengan helaian lembab berkesan untuk menyental permukaan kuku yang harus dibersihkan sebelum menyapu pewarna kuku pilihan.
Waterless Manicure System dari Butter London ini merangkumi:-
- FASHION SIZE MELT AWAY CUTICLE EXFOLIATOR: Melembutkan kutikel dan lebihan kulit di celah-celah kuku sebelum dibuang menggunakan lidi mahupun alat penolak kutikel (cuticle remover) agar riasan kuku tampak kemas dan cantik.
- FASHION SIZE NAIL FOUNDATION PRIMING BASECOAT: Mencipta satu lapisan pelindung di atas permukaan kuku agar kemudian, warna yang disapu ke atas kuku lebih menonjol dan sekata.
- FASHION SIZE HARDWARE SHINE UV TOPCOAT: Menghasilkan warna kuku yang tampak lebih menyerlah serta bersinar.
- PETITE FASHION SIZE NAIL LACQUER IN TROUT POUT: Pewarna kuku yang berasaskan rona burung flamingo atau coral ini adalah yang paling laris dari siri Butter London.
- 2 SCRUBBERS 2-IN-1 PREP & REMOVER WIPES: Menyental dan membersih permukaan kuku daripada lebihan kutikel di celah-celah kuku.
- SIGNATURE BUTTER LONDON NAIL FAIL & BUFFER: Alat yang digunakan untuk melicin permukaan serta membentuk kuku secara lembut tanpa merosakkannya.
Cara-Cara:
Langkah #1
Gunakan SIGNATURE BUTTER LONDON NAIL FAIL & BUFFER untuk mula membentuk serta menghaluskan permukaan dan setiap penjuru kuku anda.
Langkah ini amat penting kerana jika anda tidak membentuk kuku dengan sempurna serta tidak menghaluskan permukaan kuku dengan rapi terlebih dahulu, riasan kuku anda itu mungkin kelihatan comot dan tidak sekata nanti.
Anda boleh rujuk tutorial di laman youtube, bagaimanakah cara yang terbaik untuk melakukan proses fail dan buffer ke atas kuku.
Langkah #2
Setelah selesai membentuk dan menghaluskan permukaan kuku, anda boleh mula menyapu FASHION SIZE MELT AWAY CUTICLE EXFOLIATOR. Cecair magis ini bisa melembutkan kutikel atau lebihan kulit dicelah-celah kuku anda dalam sekelip mata, seterusnya memudahkan proses mengikisnya.
Seperti penulis, gunakan penolak kutikel yang diperbuat daripada besi seperti dalam gambar di atas atau anda juga boleh menggunakan lidi penolak/pengikis kutikel khas yang diperbuat daripada kayu.
Langkah #3
Setelah selesai mengikis dan membuang kutikel, anda boleh mula membersih kuku daripada lebihan sisa cecair pelembut kutikel tadi menggunkan 2 SCRUBBERS 2-IN-1 PREP & REMOVER WIPES.
Tanpa perlu menggunakan air atau sebarang cecair pembersih, helaian lembab yang dibekalkan sekali dalam kit ini sememangnya membantu membersihkan sisa kotoran pada kuku dengan cara yang paling lembut dan ringkas. Lebih memudahkan, helaian paket mini ini turut boleh disimpan dalam tas tangan dan mudah untuk dibawa kemana jua. Mana tahu jika anda perlukannya nanti!
Langkah #4
Setelah kuku dibersihkan dan kelihatan rapi, anda boleh menyapu FASHION SIZE NAIL FOUNDATION PRIMING BASECOAT. Cecair ini juga berfungsi untuk mencengkam warna dengan teguh supaya kekal lama pada kuku.
Selain itu, cecair basecoat juga mampu melindung dan memberi nutrisi yang baik pada kuku agar tidak mudah rosak atau merekah apabila bertindak balas dengan pewarna kuku berkenaan.
Apabila sapuan basecoat telah kering meliputi keseluruhan permukaan kuku, anda boleh beralih ke langkah yang seterusnya.
Langkah #5
Gunakan PETITE FASHION SIZE NAIL LACQUER IN TROUT POUT untuk memberikan nafas baru kepada kuku anda. Warna merah jambu neon secara tidak langsung bisa menghangatkan lagi gaya Musim Panas dan Musim Bunga tahun ini! Biarkan ia kering sebentar.
Jangan lupa untuk sapu FASHION SIZE HARDWARE SHINE UV TOPCOAT selepas mewarna. Kuku anda akan kelihatan bersinar dan sihat, bahkan warna berkenaan tidak mudah tercalar mahupun rosak kerana mempunyai selaput pelindung yang diberikan oleh topcoat!
Hasilnya? Seperti baru mendapatkan rawatan dan servis dari salon kuku terkemuka! Kalau penulis boleh lakukan, anda pun boleh!
Jangan risau, kerana anda boleh mengikut arahan yang disertakan bersama rajah berwarna pada bahagian belakang kotak The Waterless Manicure System.
Kit ini amat sempurna buat wanita atau gadis yang gemar melakukan riasan kuku di rumah secara pro. Anda boleh mendapatkan The Waterless Manicure System dari Butter London di cawangan Sephora berdekatan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.butterlondon.com
Comments
Post a Comment